PENJAGA gol Terengganu, Sharbinee Allawee (dua dari kiri) bersalaman dengan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat selepas sidang akhbar pusingan kedua Piala AFC di Hotel Grand Riverview, Kuala Terengganu semalam. Turut hadir, Butler (kiri) dan Hodak.
PERTEMBUNGAN dua wakil Malaysia, Kelantan dan Terengganu pada
pusingan kedua Piala AFC malam ini sudah pasti ditunggu-tunggu oleh penyokong
setia kedua-dua pasukan.
Bagi Kelantan, skuad The Red Warriors itu jelas sekali berada
pada kemuncak prestasi selepas kejayaan menjulang Piala FA, Sabtu lalu.
Di kem Terengganu pula, skuad Peteh itu mahu memadam
kekecewaan gagal mempertahankan Piala FA yang dimenangi mereka musim lalu
selepas tersingkir pada aksi separuh akhir.
Aksi malam ini turut terarah kepada kelibat Peter James
Butler – bekas jurulatih Kelantan yang kini membimbing Terengganu.
Kehadiran Butler ke Stadium Sultan Muhammad IV malam ini
bakal menyaksikan beliau kembali menjejakkan kaki di bumi Kota Bharu selepas
kontraknya sebagai pengendali Kelantan ditamatkan pada Februari lalu.
Bagi para pemerhati bola sepak tempatan, mereka menjangkakan
aksi cukup sengit malam ini, malah ada yang meramalkan pertembungan itu lebih
menarik berbanding aksi final Piala FA yang menemukan Kelantan dan Sime Darby
di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Biarpun optimis mampu menjinakkan Terengganu, pengendali
Kelantan, Bojan Hodak sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Piala AFC
bukan menjadi keutamaan The Red Warriors.
Sebaliknya Hodak berkata, Kelantan tetap fokus untuk
mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini.
“Ia (Piala AFC) bukan keutamaan kami tetapi kami sudah berada
di sini (pusingan kedua) dan saya mahu kami terus melangkah, seterusnya
memenangi perlawanan malam esok (malam ini).
“Sudah pasti beraksi di laman sendiri memberikan kami
kelebihan. Kami tidak pernah risau untuk bertemu sesiapa pun di sini (Stadium
Sultan Muhammad IV),” kata Hodak pada sidang akhbar di Kota Bharu semalam.
Mengulas mengenai Terengganu yang kini dibimbing Butler,
Bojan berkata: “Saya lebih fokus untuk mempersiapkan pasukan The Red Warriors.”
“Mungkin ia suatu yang baik untuk beliau tetapi saya mahu
katakan, buat masa sekarang kami merupakan pasukan yang baik dan sentiasa
mendapat keputusan yang baik.
“Jadi, mereka (pasukan lawan) yang datang ke sini perlu
memikirkan reputasi kami. Saya mahu ia berakhir 90 minit, masa tambahan mungkin
memberikan kita masalah,” ujarnya.
Sementara itu, Butler memberitahu, beliau kini sedang
mempertingkatkan moral para pemainnya .
Jelas Butler, sebagai seorang jurulatih yang pernah
membimbing Kelantan sebelum ini mungkin memberinya sedikit kelebihan, namun
beliau lebih selesa untuk memberi tumpuan terhadap persiapan Terengganu.
“Saya mengenali para pemain Kelantan kerana saya berada di
sini (Kelantan) selama lima bulan dan pernah bekerja keras bersama mereka.
“Saya tinggalkan mereka ketika mereka berada di puncak Liga
Super dan saya rasa saya sudah melakukan yang terbaik untuk mereka.
“Perlawanan malam esok (malam ini) menjadi tugas pertama saya
bersama Terengganu dan saya mahu melakukan yang terbaik,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment