ROKET Falcon 9 berlepas dari sebuah pusat pelancaran di Cape Canaveral, Florida semalam.
CAPE CANAVERAL, Florida - Sebuah roket keluaran syarikat
swasta berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) semalam.
Ia merupakan penerbangan komersial pertama yang dilancarkan
oleh sebuah syarikat swasta ke ISS.
Roket itu dikenali sebagai Falcon 9 membawa kapsul Dragon
berisi muatan makanan.
Ia dilancarkan dari sebuah pusat pelancaran di sini pada
pukul 3.44 pagi waktu tempatan.
Roket sepanjang 54 meter dan tanpa juruterbang itu akan
berlabuh di ISS dalam tempoh beberapa hari lagi.
Pelancaran roket itu bertujuan untuk menunjukkan bahawa pihak
swasta mampu memulihkan industri penerbangan angkasa lepas Amerika Syarikat ke
ISS.
Sebelum ini Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas
Kebangsaan (NASA) telah menghentikan operasi penerbangan ke angkasa lepas pada
tahun lalu.
Roket itu sepatutnya dilancarkan pada Sabtu lalu.
Namun, ia ditangguhkan ekoran masalah tekanan tinggi pada enjin
roket tersebut.
Syarikat SpaceX yang mengeluarkan roket itu dimiliki oleh
bilionair Elon Musk.
Beliau juga merupakan pengasas bersama Paypal.
"Falcon terbang dengan sempurna," kata Musk di
laman Twitter.
Syarikat itu mempunyai kontrak sebanyak AS$6.6 bilion
(RM20.60 bilion) dengan NASA untuk misi menghantar bekalan ke ISS. - Agensi
No comments:
Post a Comment