expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 23 May 2012

Sukma ke-15: Terengganu yakin raih pingat acara sepak takraw



KUALA TERENGGANU - Terengganu yakin mampu meraih lebih banyak pingat acara sepak takraw pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang, Julai ini memandangkan pencapaian memberangsangkan pasukan negeri itu pada kejohanan yang disertainya sebelum ini.


Ketua Jurulatih Terengganu Ahmad Mohd Zin berkata keyakinan itu bertambah kuat apabila pemain yang bakal disenarai terdiri daripada pemain yang berwibawa dan berpengalaman.

 
"Sasaran kami cuma dua pingat emas tetapi kami jangka akan meraih pingat lebih banyak daripada itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

 
Beliau berkata pada Sukma yang berlangsung di Melaka pada 2010, Terengganu hanya meraih satu pingat emas dan dua pingat gangsa.

 
Ahmad berkata untuk menghadapi Sukma kali ini, Terengganu menyenaraikan 18 pemain dan kesemua mereka akan dipanggil untuk memulakan latihan fasa akhir pada awal bulan depan.

 
Kejohanan Piala Emas Khir Johari adalah antara kejohanan besar yang disertai pasukan sepak takraw Terengganu yang menyaksikan Terengganu muncul juara. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com