Penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee (dua dari kiri) bersalaman dengan penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat (dua dari kanan) ketika kedua-duanya bertemu pada sidang media Piala AFC di Kota Bharu, semalam. Turut kelihatan Peter Butler (kiri) dan Bojan Hodak.
KOTA BHARU - Pertembungan dua musuh tradisi, Kelantan dan
Terengganu dalam pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia malam ini
bukan sekadar untuk menentukan siapa kuasa sebenar bola sepak pantai Timur.
Malah, ia turut menjadi penentu kepada pasukan negeri mana
yang masih bertanding dalam kejohanan berprestij itu.
Bagi pasukan Kelantan, beraksi di gelanggang keramat mereka
di Stadium Sultan Muhammad IV pasti memberi kelebihan memandangkan ia adalah
perlawanan kalah mati, ditambah pula dengan semangat dan moral pemain yang
sedang menjulang ekoran kejayaan menjuarai Piala FA pertama, Sabtu lalu.
Namun, Kelantan perlu sedar bahawa mereka bukan sekadar
bertembung dengan Terengganu, sebaliknya turut berhadapan dengan bekas
jurulatih mereka, James Peter Butler yang pernah mengemudi pasukan itu selama
lima bulan musim ini.
Bagaimanapun, jurulatih Kelantan, Bojan Hodak melaungkan
amaran kepada pasukan lawan bahawa Kelantan kini berada di prestasi
terbaik serta menjadi pilihan utama dan mana-mana pasukan
yang datang ke Kota Bharu pasti akan menghadapi kesukaran.
"Terengganu datang ke Kota Bharu dan mereka perlu
memikirkan kami. Masa ini Kelantan adalah pasukan terbaik dengan keputusan baik jadi seperti saya katakan tadi sesiapa sahaja lawan kami
di sini akan mengalami kesukaran," katanya pada sidang media pra
perlawanan tersebut di sini, semalam.
Hodak bagaimanapun berharap, keputusan perlawanan itu dapat
ditentukan dalam tempoh 90 minit untuk mengelak sebarang kepenatan atau
kecederaan kepada pemain yang dalam misi memburu kejuaraan Liga Super untuk
kali kedua berturut-turut.
Kata Hodak, beliau juga masih perlu melihat tahap kecergasan
kesemua pemainnya dan tidak menolak kemungkinan akan melakukan sedikit rombakan
untuk memastikan keseimbangan dalam pasukan kerana banyak lagi perlawanan yang
menanti selepas ini.
Sementara itu, Butler pula percaya beliau mempunyai resipi
terbaik untuk memastikan pasukannya tidak pulang dengan berputih mata kali ini.
Menurutnya, meskipun baru seminggu menjadi jurulatih
Terengganu, beliau kini dapat melihat peningkatan yang ditunjukkan pasukannya
dan percaya jika percaturan yang dirancang dapat diaplikasikan di atas padang,
kemenangan akan memihak kepada mereka.
"Mungkin kami juga mempunyai antara penyerang import terbaik
di negara ini cuma saya rasa dia (Francis Forkey Doe) kurang bernasib baik
kerana mengalami kecederaan dan masalah keyakinan diri jadi ini adalah peluang
terbaik untuk dia buktikan sesuatu dan pasukan juga perlu membuktikannya,"
tegas beliau.
No comments:
Post a Comment