PERBUATAN menakutkan anak dengan cerita hantu untuk
membuatkan mereka berhenti menangis atau mengawal tingkah laku bukanlah satu
tindakan yang wajar dalam mendidik si kecil.
HANTU dan puaka merupakan sebahagian daripada watak-watak
yang selalu hadir di sekeliling kita. Ia diceritakan daripada satu generasi
kepada generasi yang lain. Ini menjadikan seolah-olah hantu dan puaka itu
seolah-olah selalu mengekori manusia.
Sungguhpun watak hantu telah ditafsirkan dengan pelbagai cara
dan diceritakan daripada satu individu kepada individu yang lain, namun sangat
jarang yang pernah melihatnya sendiri.
Banyak daripada watak hantu yang seram dan mengerikan itu
bersumberkan daripada cerita orang lain.
Bagaimanapun, kerana ia menjadi cerita yang dipercayai, watak
hantu telah menjadi sebahagian daripada perbualan masyarakat.
Disebabkan cerita hantu mampu menarik minat, mutakhir ini
lambakan filem seram telah menguasai industri perfileman kita.
Walaupun filem hanyalah sekadar sebuah medium untuk berhibur,
ia boleh memberi kesan negatif kepada anak-anak.
Anak-anak percaya bahawa hantu atau watak seram itu
benar-benar wujud di sekeliling mereka.
Dalam masyarakat Melayu khususnya, hantu telah menjadi
sebahagian daripada simbol yang digunakan untuk menakutkan anak-anak yang
sering menangis pada tengah malam atau mengawal kenakalan mereka.
Adakah itu cara yang betul dalam mendidik anak-anak?
Hakikatnya, mendidik anak untuk takutkan hantu telah menanam konsep baharu ke
dalam diri mereka. Ia telah membuatkan mereka percaya bahawa hantu itu
sememangnya watak yang menakutkan dan boleh menyebabkan manusia ditimpa
musibah.
Menanam kepercayaan awal
Malang sekali, kerana konsep hantu tersebut tidak dapat
dibuktikan, ketakutan anak-anak itu terbawa-bawa sehingga mereka dewasa.
Mereka akan takut melalui kawasan kubur kerana kononnya ia
menjadi tempat tinggal hantu atau enggan berada di tempat gelap walaupun di
dalam bilik kerana kononnya ada hantu.
Sebenarnya, mendidik anak dengan konsep hantu terutamanya
ketika anak-anak masih kecil hanya menjadikan mereka manusia yang penakut
kepada sesuatu yang diragui kewujudannya.
Walaupun ia mungkin bukanlah pendekatan yang sesuai, tetapi
menakutkan anak-anak dengan perkara yang boleh dibuktikan mungkin lebih baik
daripada menakutkan mereka dengan cerita hantu.
MEMBIARKAN anak-anak menonton filem hantu di kaca TV
sendirian boleh memberikan impak buruk kepada psikologi mereka.
Misalnya, kalau anak menangis, kita menakutkan mereka dengan
harimau atau gajah. Apabila mereka dewasa, mereka akan tahu bahawa harimau atau
gajah hanya berada di hutan atau setidak-tidaknya di zoo.
Sebaliknya, kalau kita menakutkan mereka dengan hantu dan ia
tidak boleh dibuktikan, mereka akan menggambarkan hantu itu akan berada di mana-mana
sahaja.
Hantu boleh berada di dalam bilik air atau pada malam hari.
Hantu juga boleh muncul ketika kita tinggal berseorangan.
Sehubungan itu, ibu bapa harus berhati-hati apabila mendidik
anak-anak mereka. Jangan mengambil jalan singkat untuk menghentikan anak-anak
menangis, sedangkan perbuatan seumpama itu hanya merosakkan keyakinan diri
mereka pada masa hadapan.
Apa yang terjadi, biasanya mereka yang menceritakan ternampak
hantu itu adalah mereka yang takut kepada makhluk tersebut.
Adakalanya, hantu yang diceritakan itu bukanlah hantu yang
sebenarnya, sebaliknya hanyalah imej lain yang pada sangkaan mereka ialah
hantu.
Konsepsi mengenai hantu telah menyebabkan wujudnya nujuman
penyempurnaan kendiri dalam diri seseorang.
Kita meramal dahulu dan membenarkan kemudian. Apabila ada
plastik putih yang terbang pada waktu malam, mereka yang sudah sedia menanam
kepercayaan konsep hantu ini segera membuat kesimpulan bahawa itu ialah hantu.
Sesekali, apabila terdengar ada bunyi asing pada tengah
malam, mereka menyatakan bahawa mereka sedang diusik hantu.
Kepercayaan awal itulah yang menyebabkan kesimpulan mengenai
hantu itu dibuat tanpa berfikir panjang.
Walaupun dalam Islam kita memang disuruh mempercayai
kewujudan jin dan syaitan, tetapi tentulah ia bukan seperti yang digambarkan
dalam cerita masyarakat kita.
Kepercayaan dan ketakutan yang keterlaluan masyarakat kita
terhadap hantu telah mencetuskan watak hantu dengan pelbagai nama dan sifatnya.
Hakikatnya, daripada banyak cerita seram yang kita dengar itu
jarang ada antara kita yang pernah menyaksikannya sendiri.
thanks for info..dpt juga info mcm ni..bukan apa..sy sendiri melihat dgn mata sy bagaimana byk ibu bapa menakutkan anak2 mereka dengan hantu..dimana sedikit sebanyak akan beri impak negative utk anak2..info anda amat menarik..mohon share di fb nt ;-)
ReplyDeletebetul tu..impak negative nya nanti anak2 mudah percaya dengan benda tahyul ni..boleh..:-)
Delete