expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 11 June 2012

Kafa bantu golongan miskin


















Pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin menyerahkan cenderamata daripada JKM, kepada penduduk setempat sambil diperhatikan Annuar.


KOTA BHARU - Persatuan Bolak Sepak Kelantan (Kafa) memperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk sumbangan amal bagi membantu golongan miskin.


Jumlah tersebut merupakan hasil kutipan jualan tiket yang diperolehi sempena final Piala FA, 19 Mei lalu.


Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, dari jumlah terbabit RM 30,000 digunakan untuk membina sebuah rumah pasangan suami isteri yang miskin dan tinggal sebatang kara.


Beliau berkata, RM 20,000 lagi akan digunakan untuk sumbangan lain bagi membantu mereka yang memerlukan.


“Saya setuju untuk mewakafkan tanah kepada pasangan ini kerana mereka merupakan anak yatim piatu yang tiada tanah dan rumah.


“Rumah terbabit, kita akan bina dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pemainThe Red WarriorsTRW) yang juga bertindak sebagai ikon kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya kepada pemberita pada majlis gotong-royong TRW dan JKM di Kampung Pak Rahmat, Seterpa Peringat, semalam.


Dalam program itu, ATM turut dijemput memeriahkan acara terbabit yang bermula dengan aktiviti membersih kubur, tali air, masjid, tabika kemas di lima mukim di kawasan berkenaan.


Beliau yang juga Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) berkata, program julung kali diadakan itu diharap dapat melatih pemain TRW melakukan kerja-kerja kebajikan dan sosial untuk kebaikan rakyat.


“Ini juga sebagai simbolik pemain yang bertindak sebagai ikon kebajikan dan kita tidak mahu tengok mereka hanya tahu sepak bola sahaja, saya mahukan mereka memberi sumbangan kepada rakyat.


“Melalui program ini, mereka dapat menyumbangkan tenaga untuk rakyat bagi mengurangkan beban golongan yang memerlukan," katanya.


Pada program itu juga sebanyak 1,500 cenderamata daripada JKM turut diagihkan kepada penduduk di sekitar kawasan terbabit selain sumbangan beras kepada penerima bantuan jabatan itu.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com