BEBERAPA petugas kecemasan
memerhatikan timbunan runtuhan selepas sebuah pesawat tentera terhempas di
Jakarta semalam.
JAKARTA - Sebuah pesawat milik tentera udara Indonesia
semalam terhempas di atas lapan buah rumah di sebuah pangkalan tentera di sini,
membunuh sepuluh anak kapal dan menyebabkan sekurang-kurangnya lima yang lain
cedera parah.
"Seorang lagi berada dalam keadaan kritikal," kata
jurucakap tentera udara Indonesia, Asman Yunus.
Pesawat Fokker-27 itu terhempas di kawasan perumahan di
lapangan terbang tentera Halim Perdanakusuma pada pukul 2.45 petang (waktu
tempatan) setelah berlepas dari lapangan terbang sama pada pukul 1.10 petang.
Pesawat malang itu dikatakan sedang menjalani latihan
penerbangan dan tidak mempunyai penumpang.
Pasukan bomba dilihat bertungkus-lumus memadamkan api yang
memusnahkan beberapa buah rumah. Sayap pesawat itu juga dapat dilihat berada di
atas sebuah rumah terbabit.
Pihak tentera akan menyiasat punca nahas pesawat yang sudah
berusia lebih 20 tahun itu. Indonesia kini sedang dalam proses memodenkan
pesawat dan peralatan ketenteraannya. Ia melibatkan pembelian pesawat dan bot
dari Rusia serta Amerika Syarikat. - AFP
No comments:
Post a Comment