al-Quran diturunkan kepada semua umat
manusia sebagai panduan agar berjaya di dunia dan di akhirat. - Gambar hiasan
SETELAH Allah menceritakan berkenaan dengan hal ehwal manusia
dan keadaan mereka, maka Allah datang pula dengan ayat yang memberi arahan
kepada Rasul-Nya SAW mengenai al-Quran yang diwahyukan kepadanya dan bagaimana
peraturan menerimanya.
Firman Allah SWT: Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk
(membaca) al-Quran kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya atas
tanggungan kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai)
membacanya. (al-Qiyamah: 16-17)
Al-Maraghi berkata: Dia menerangkan jaminan yang pertama
menerusi firman-Nya: Wahai rasul yang mulia! Jangan engkau menggerakkan lisan
dan kedua bibirmu untuk membacanya kerana engkau ingin mengambilnya dengan
tergesa-gesa lantaran takut ia akan meninggalkanmu kerana Kami yang akan
menghimpunkan untukmu, Kami juga yang akan menetapkannya dalam hatimu.
Keadaan Nabi SAW apabila wahyu diturunkan kepadanya, Baginda
sentiasa menggerakkan lidah dan kedua-dua bibirnya untuk mengikutnya sehingga
sulit baginya. Perkara itu diketahui melalui gerakan kedua-dua bibirnya.
Ibnu Kathir berkata: Iaitu menguasai al-Quran.
Sayid Qutub berkata: Ayat-ayat ini menjelaskan bagaimana
gelisah, resah dan tidak sabarnya Nabi SAW untuk mengingati wahyu-wahyu yang
disampaikan kepada baginda.
Baginda memberi sepenuh perhatiannya kepada wahyu itu dan
terlalu bimbang jika sekiranya terlupa mana-mana ayat atau kalimah daripada
wahyu tersebut.
Inilah yang mendorong Nabi SAW mengikuti bacaan Malaikat
Jibril as, ayat demi ayat dan kalimah demi kalimah, agar Baginda benar-benar
pasti tiada satupun yang hilang dan benar-benar pasti bahawa baginda SAW telah
mengingati semuanya.
Firman Allah SWT: Apabila kami telah selesai membacakannya
maka ikutilah bacaannya itu. (al-Qiyamah: 18)
Al-Maraghi berkata: Apabila malaikat membacakan wahyu Allah
SWT kepadamu, amalkanlah syariat dan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya.
Kemungkinan yang dimaksudkan, apabila malaikat membacakan al-Quran itu
kepadamu, maka dengarkanlah, kemudian bacalah sebagaimana malaikat membacakan
kepadamu.
Ibnu Kathir berkata: Iaitu Jika malaikat telah selesai
membacakan wahyu daripada Allah SWT, dengarkanlah dan kemudian bacakan
kepadanya sebagaimana malaikat telah membacakannya kepadamu.
Firman Allah SWT: Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan
kamilah penjelasannya. (al-Qiyamah: 19)
Al-Maraghi berkata: Selepas Kami menjadikan engkau boleh
menghafal dan membacakannya, Kami akan memperjelaskan dan memberi ilham
maknanya kepada kamu sesuai dengan yang dikehendaki. Kemudian Dia mengulangi
perbincangan yang mencela orang musyrik, dan keingkaran mereka terhadap hari
kebangkitan.
Ibnu Kathir berkata: Iaitu setelah dia menghafaz dan
membacanya, maka Kami (Allah) yang akan menjelaskan, menerangkan dan
mengilhamkan maknanya untukmu sesuai dengan apa yang Kami kehendaki dan
syariatkan.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, dia bercerita,
Rasulullah SAW berusaha menghilangkan rasa gementar baginda disebabkan turunnya
wahyu, dengan menggerakkan kedua bibirnya. Dia mengkhabarkan bahawa Ibnu Abbas
berkata kepadaku: "Aku menggerakkan kedua bibirku seperti mana Rasulullah
SAW menggerakkan kedua bibir baginda." Sedangkan Said juga pernah berkata
kepadaku: "Aku menggerakkan kedua bibirku seperti mana aku melihat Ibnu
Abbas menggerakkan kedua bibirnya."
Berkenaan dengan ayat ini ditafsirkan dengan empat pendapat:
- Kami menyatakannya dengan lisanmu sehingga kamu mampu membaca sebagaimana Jibril membaca kepadamu, inilah pendapat Ibnu Abbas.
- Kami membalas dengannya pada hari kiamat mengikut janji baik dan buruk, inilah pendapat al-Hasan.
- Kami menjelaskan segala hukum-hakam halal dan haram, inilah pendapat Qatadah.
- Kami menurunkannya menggunakan bahasa arab untuk menerangkan kepada manusia, inilah pendapat al-Zajjaj.
Firman Allah SWT: Sekali-kali janganlah demikian.
Sebenarnya kamu (hai manusia) mencintai kehidupan dunia. Dan meninggalkan
(kehidupan) akhirat. (al-Qiyamah: 20-21)
Ata' berkata: Abu Jahal tidak beriman dengan al-Quran dan
segala keterangannya. Sebaliknya Ibnu Jarir pula berpendapat: Hal urusan
akhirat tidak seperti sangkaanmu di mana tidak dibangkitkan.
Qatadah berkata: Sebahagian besar manusia suka memilih yang
dekat kecuali orang yang dikasihi dan dilindungi Allah SWT.
Ibnu Kathir berkata: Maksudnya yang menyebabkan mereka
mendustakan hari kiamat dan penolakan mereka terhadap wahyu yang hak dan
al-Quran yang diturunkan Oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW kerana sesungguhnya
yang menjadi keinginan mereka adalah kehidupan dunia sedang mereka lengah dan
lalai terhadap kehidupan akhirat.
Sayid Qutub berkata: Yang mula-mula menarik perhatian dari
segi keselarasan penerangan ayat ialah kehidupan dunia di sini dinamakan dengan
'Ajilah (kehidupan yang cepat). Selain daripada kata-kata ini
menyarankan betapa pendek dan cepatnya berakhir kehidupan dunia ini, di sana
juga terdapat keselarasan di antara bayangan kata-kata kehidupan yang cepat
itu.
Firman Allah SWT: Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada
hari itu berseri-seri. (al-Qiyamah: 22)
Ulama menafsirkan perkataan berseri-seri dengan pelbagai
tafsiran, antaranya:
- Berseri-seri dengan kenikmatan seperti pendapat al-Farra'.
- Dengan kebaikan seperti pendapat Ibnu Abbas.
- Dengan mendapat kenikmatan seperti pendapat Ibnu Zaid.
- Dengan kegembiraan seperti pendapat Mujahid.
- Dengan putih dan bercahaya mukanya seperti pendapat Muqatil.
- Dengan dibersihkan mukanya seperti pendapat al-Suddi.
- Al-Maraghi berkata: Wajah orang mukmin yang ikhlas bersinar dan cerah ketika berlaku kiamat.
- Ibnu Kathir berkata: Berasal dari kata an-Nadhaarah yang bermaksud rupawan, menawan, cemerlang lagi penuh kebahagiaan.
Sayid Qutub berkata: Jika beginilah kenikmatan melihat
keindahan ciptaan Allah di dunia maka bagaimana pula kenikmatan melihat
keindahan zat Allah sendiri di akhirat.
insyaALLAH...
ReplyDeleteharap2 istiqamah dalam melakukan ibadat..:-)
Delete