WAJAH perempuan tua yang hodoh sering
digambarkan oleh mangsa histeria di sekolah di negara ini. - Gambar hiasan
WANITA itu digambarkan sebagai seorang yang sangat tua,
bongkok dan mempunyai kulit wajah yang berkedut. Lenggok langkahnya yang
dibantu sebatang tongkat kayu nampak tidak gagah.
Dikenali sebagai nenek kebayan, kisah wanita itu telah
diperturunkan dari zaman dahulu hingga kini dalam masyarakat Melayu terutamanya
dalam Hikayat Malim Deman dan Hikayat Hang Tuah.
Dalam kisah-kisah tersebut wanita itu menunjukkan watak baik.
Dia menjadi perantara untuk manusia biasa berhubung dengan puteri kayangan
dengan kuasa magis yang dimilikinya.
Dalam versi lain, nenek tua itu digambarkan sebagai seorang
wanita yang memiliki rupa paras menakutkan dan gemar menculik kanak-kanak
menerusi lirik lagu rakyat, Nenek Si Bongkok Tiga.
Lakaran gambar puteri gunung ledang
Dia juga terkenal sebagai penjaga Puteri Gunung Ledang yang
mendiami gunung tersebut yang terletak di Ledang, Johor menerusi cerita-cerita
legenda.
“Walaupun banyak versi cerita tentangnya, kewujudan nenek
kebayan ini bukan dongeng semata-mata,” jelas seorang pengamal perubatan Islam,
Shamsuri Shafie.
Ilmu hitam
Nenek kebayan merupakan manusia biasa yang gemar tinggal di
kawasan yang jauh di pedalaman. Dia berbuat demikian kerana gemar menyendiri
akibat mengamalkan ilmu hitam untuk memperoleh kuasa.
Dia suka membantu masyarakat kampung dan golongan
berkedudukan terutamanya dalam bidang perbidanan dan perubatan. Nenek kebayan
dijadikan sebagai penjaga keselamatan sebahagian keluarga raja dan pembesar
zaman dahulu.
“Nenek kebayan merupakan seorang bidan, bomoh dan pawang.
Namun malangnya dia mengamalkan amalan syirik dalam proses perubatannya.
“Orang zaman dahulukala gemar menggunakan bantuan jin dalam
upacara perubatan. Tidak hairanlah kalau nenek kebayan boleh hidup lama biarpun
bersendirian di dalam hutan kerana ada makhluk lain yang berdampingan
bersamanya,” jelas Shamsuri.
Menurut Shamsuri, biarpun kewujudannya tidak dapat
dipastikan, namun ciri-ciri yang digambarkan oleh wanita itu menjelaskan bahawa
ia mampu hidup sendirian dan mempunyai kuasa sakti kerana bantuan jin tersebut.
Jika kebanyakan warga emas mengamalkan memakan ulam-ulaman
mahupun sumber alam untuk kekal awet muda, berbeza pula dengan nenek kebayan
apabila dia gemar memakan daging mentah.
“Nenek kebayan makan begitu banyak kerana berkongsi hidangan
dengan makhluk yang mendampinginya. Dia suka makan daging mentah dan darah,”
tutur Shamsuri.
Hutan
Jelas Shamsuri, seiring dengan peredaran zaman dan
kepercayaan masyarakat pada zaman ini yang lebih berpegang kepada ajaran Islam,
kisah nenek kebayan kini sekadar menjadi cerita rakyat.
Namun, jin belaan nenek kebayan masih wujud di hutan kerana
di situ tempat makhluk seperti itu berkeliaran.
“Mungkin di kawasan Semenanjung Malaysia nenek kebayan sudah
tiada lagi kerana masyarakat hari ini sudah tidak mempercayai amalan seperti
itu.
“Tetapi di rantau Nusantara ini mungkin masih ada nenek
kebayan yang tinggal di dalam hutan bersama jinnya,” jelas Shamsuri.
Seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi
memberitahu bahawa dia pernah ‘ditegur’ makhluk yang menyerupai seorang nenek
tua ketika mengikuti program perkhemahan di sebuah kawasan di kepulauan Borneo.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Razali bersama beberapa
orang kawannya berkhemah di sebuah kawasan yang berdekatan air terjun yang
dilatari oleh hutan tebal.
“Setibanya saya di tempat itu, saya melihat suasananya begitu
cantik seperti terpelihara. Ketika terlelap kerana penat selepas memasang
khemah, saya terjaga kerana berdepan dengan mimpi aneh.
“Dalam mimpi itu seorang wanita tua yang bongkok dan berwajah
hodoh menghampiri saya dan berkata bahawa dia membenarkan kami mandi di kawasan
air terjun itu, tetapi kena menjaga tingkah laku.
“Sejurus kemudian saya tersedar. Begitu sukar untuk mengiakan
sama ada ia hanya mainan tidur atau benar-benar pesanan yang disampaikan oleh
orang tua itu,” ujar pelajar berusia 22 tahun itu.
No comments:
Post a Comment