BERHUTANG tidak salah, tetapi apabila ia di luar kawalan
boleh menyebabkan tekanan perasaan, serangan penyakit jantung atau pergolakan
rumah tangga. Ia juga boleh membuat seseorang membunuh diri.
Orang yang berhutang dianggap sebagai bermasalah sekiranya
gagal membayar ansuran bulanan yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai wang
yang cukup untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.
Secara psikologi apabila seseorang melihat jumlah hutang di
dalam penyata banknya semakin bertambah, satu isyarat 'bahaya' akan dihantar ke
otak.
Ini akan menyebabkan gejala kerisauan. Si berhutang mulai
mengira sama ada mempunyai wang yang cukup untuk membayar tunggakan hutang sewa
beli atau pinjaman tersebut.
Kerisauan juga menyebabkan gangguan tidur. Orang yang banyak
berhutang sukar melelapkan mata di malam hari kerana ingatan mereka lebih
tertumpu kepada pelbagai komplikasi hutang.
Isu berkenaan wang ringgit sangat sensitif di rumah. Mereka
mudah naik angin dan adakala memarahi anak atau isteri yang meminta duit
belanja.
Bagaimanapun orang seperti ini biasanya masih waras dan akan
menyesal keesokan hari apabila melihat anak telah pun pergi ke sekolah tanpa
bersarapan atau membawa duit belanja.
Di tempat kerja pula, mereka gagal memberikan tumpuan dan sibuk
dengan pelbagai aktiviti luar skop kerja seperti jualan langsung untuk
menambahkan pendapatan sampingan.
Tunggakan hutang boleh menyebabkan seseorang dihantui
perasaan takut. Mereka tidak menjawab panggilan telefon atau membuka surat
kerana takut ia daripada syarikat pemungut hutang atau pejabat peguam.
Bagi peminjam ah long mereka tidak akan membuka pintu rumah
apabila diketuk kerana takutkan pelbagai ancaman dan ugutan.
Semasa memandu pula, mereka takut sekiranya kenderaan mereka
ditarik.Masalah kemurungan kebanyakannya berlaku apabila ikhtiar
terakhir mereka untuk mendapatkan wang musnah.
Ia termasuk mendapatkan wang dengan cara yang tidak betul.
Mereka putus asa terhadap kehidupan dan hanya melihat kematian sebagai jalan
penyelesaian.
Bagi yang tidak mempunyai polisi insurans nyawa mereka
tergamak membunuh anak dan isteri bersama.
Panduan psikologi
menguruskan hutang
Langkah pertama, analisis jumlah hutang, komitmen bulanan dan
bandingkan dengan pendapatan anda. Lihat berapa yang kurang. Maafkan diri atas
sebarang kesilapan yang menyebabkan anda berhutang. Jangan bersedih kerana ada
ramai lagi orang seperti anda yang mempunyai masalah serupa.
Peruntukkan satu hari dalam sebulan untuk membuka semua surat
penyata hutang anda. Tetapkan keazaman yang anda akan selesaikan semua hutang
tersebut satu hari nanti. Percayalah apabila anda melihat jumlah hutang semakin
berkurang, anda akan merasa gembira kerana ia adalah bukti kejayaan. Anggaplah
ia satu saat indah yang perlu berlaku pada setiap bulan.
Kurangkan pemiutang anda. Anda mungkin berhutang kepada
sepuluh buah bank pada satu masa. Pilih jumlah yang paling kecil dan bayar
sepenuhnya. Anda akan merasa lebih selesa kerana jumlah pengutip hutang yang
akan menghubungi anda semakin berkurang.
Atur semula sewa beli dan pinjaman. Utamakan pinjaman yang
mempunyai kadar faedah paling tinggi. Berbincang dengan pihak bank berkenaan
pembiayaan semula atau pembayaran separuh.
Perbetulkan perbelanjaan mengikut kemampuan. Jangan
berbelanja untuk bermegah. Orang mungkin memuji, tetapi pujian tersebut tidak
bermakna sekiranya anda terseksa untuk membayar ansuran bulanannya. Utamakan
dahulu keperluan asas seperti makanan, bil utiliti rumah dan yuran sekolah
anak-anak.
Berterus-terang dengan keluarga tentang masalah kewangan dan
langkah berjimat cermat. Tidak ada salahnya walaupun anak kecil anda menawarkan
duit syiling mereka untuk membantu. Ia menunjukkan pemahaman dan boleh
mengeratkan hubungan kekeluargaan. Banyakkan masa di rumah kerana ia boleh
mengurangkan perbelanjaan di luar.
Jangan percaya dengan kaedah pantas mendapatkan wang seperti
pinjaman ah long, skim cepat kaya atau judi kerana ia terbukti memudaratkan.
Jangan melabur dalam sesuatu yang tidak pasti.
Apabila anda gagal menguruskan sendiri, jangan malu mendapatkan
bantuan luar. Anda boleh berhubung dengan perunding hutang di bank atau agensi
pengurusan kredit yang tidak berasaskan keuntungan untuk mengurangkan kadar
faedah atau mengumpul kesemua komitmen bulanan dalam satu bayaran.
No comments:
Post a Comment