Selain
bersuka ria di pekarangan resort, ada yang memilih untuk memancing, meredah
keluasan tasik, meneroka gua ataupun bersendirian atas penginapan bot.
KALI ini persinggahan EKSTRA ialah Tasik Kenyir, Terengganu.
Terpegun dalam pesona, nyata sekali kawasan takungan air seluas 260,000 hektar
itu telah menyuburkan warisan alam semula jadi yang ada di sekelilingnya.
Tidak hairan jika sudah bertahun-tahun lokasi itu memukau
hati ramai pengunjung hanya kerana pandangan kali pertama.
DI SEBALIK ketenangan
air Tasik Kenyir, siapa sangka di dalamnya terdapat lebih 300 spesies ikan.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana kawasan yang luas dan
berbukit-bukit akhirnya berubah menjadi beratus-ratus buah pulau gara-gara
ditenggelami air.
Didorong prospek pelancongan yang menggalakkan, sebahagian
daripada pulau itu kini telah dibangunkan dengan kemudahan penginapan dan juga
tarikan pengembaraan lain.
SELAIN meredah tasik, tetamu Tasik
Kenyir boleh menyertai aktiviti memancing, berkayak, meredah hutan atau melawat
santuari kelah.
“Tasik Kenyir adalah untuk mereka yang gemar pada ketenangan
alam. Begitu juga dengan yang gila memancing.
“Saya sendiri kalau tidak bertugas atau beristirehat di pulau
peranginan di perairan laut, akan menghabiskan masa berkhemah di pinggir tasik
ini,” ujar Pengarah Urusan Ayu Mayang Resort di Pulau Redang, Yap Chuan Bin.
KETENANGAN yang menanti di sudut terlindung jaringan sungai.
Begitu sekali tarikan kawasan akuatik di utara bumi Darul
Iman ini. Dengan panggilan 340 buah pulau di tengah tasik, 14 air terjun,
beberapa jeram serta sungai, Tasik Kenyir sememangnya menyimpan ribuan khazanah
alam yang berharga.
“Orang sepatutnya menghargai simfoni semula jadi seperti
bunyi unggas dan serangga, kesegaran udara dan juga kedamaian yang
dipersembahkan kepada semua. Hormatilah alam yang indah ini,” tambah Yap.
Sama seperti pejuang alam sekitar yang lain, lelaki yang
ditemui ini kurang bersetuju dengan pengusaha pelancongan atau resort yang
mengganggu aturan itu dengan operasi karaoke, pusat hiburan dan ekspedisi
pacuan empat roda yang melampau.
Memang benar, hutan hujan yang menyumbangkan kesegaran
oksigen di Tasik Kenyir turut menjadi habitat bagi pelbagai hidupan flora dan
fauna.
Pasti seronok para pencinta alam jika menemui spesies pokok
pakis yang jarang ditemui, anggerik eksotik, atau unggas dan haiwan seperti
enggang, gajah, cempelai dan juga harimau kumbang.
Mengikut brosur promosi pelancongan yang dipetik daripada
rekod Jabatan Perhilitan, Tasik Kenyir dan belantara di sekelilingnya menjadi
rumah bagi lebih daripada 8,000 spesies bunga, 2,500 spesies pokok dan tumbuhan
termasuk 800 spesies orkid dan 300 spesies kulat.
Bagaimana agaknya aksi dan cabaran menaikkan baung, lampam,
toman dan kelah di sini? Kajian terkini mendapati terdapat kira-kira 300 spesies
ikan air tawar membiak di dalam Tasik Kenyir.
Kalau belum menandakan lokasi ini dalam rencana kunjungan
akan datang, mungkin statistik itu membuatkan jantung si kaki pancing berdegup
lebih kencang!
GAYA hidup atas bot
boleh dicuba bagi yang mahukan kelainan.
Bersiar dengan bot, berkayak, merentas hutan, ekspedisi
pacuan empat roda dan panggilan padang golf adalah antara senarai riadah dan
rekreasi yang popular di sekitar tasik yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara
melalui Tanjung Mentong ini.
JETI singgah yang menyambut kedatangan pengunjung ke mulut Gua Bewah.
Jika kawasan perkhemahan dan trek merentas hutan mudah
disertai di sepanjang Sungai Saok, Lasir, Cacing, Lawit, Petang, Terenggan,
Tembat dan Pulau Poh, aktiviti rentas hutan yang ekstrem pula menanti di trek
laluan ke puncak Gunung Gagau.
KENALI proses formasi
batu dan hubungan biologi kehidupan di dalamnya.
Tidak ketinggalan ialah aktiviti meneroka gua. Selain Gua
Taat, Gua Bewah sangat diingati kerana kisah kehidupan manusia prasejarah
banyak diceritakan sepanjang usia kewujudannya.
LALUAN pejalan kaki dalam Gua Bewah telah dipermudahkan untuk pengunjung.
Kedua-dua gua itu antara yang masih boleh dikunjungi ‘isi
perutnya’ kerana tidak ditenggelami air sejak pembinaan Empangan Kenyir.
Di Tasik Kenyir, pengunjung tidak perlu khuatir akan soal
penginapan. Di sini terdapat pilihan penginapan bertaraf tiga bintang yang
masing-masing bersaing menawarkan kemudahan bernilai tambah.
Paling popular dan mungkin menghampakan pengunjung yang
terlewat menempah pada musim tertentu tentunya penginapan gaya calet
tradisional.
Baik yang dibina di atas pulau, gaya terapung seperti rumah
bot ataupun yang terperosok sedikit ke dalam redup rimba, semuanya sedia
dihuni.
“Antara perkara yang menjadi faktor dalam membuat keputusan
penginapan ialah kemudahan dalam bilik, panorama persekitaran, arah matahari
terbit, lokasi memancing, aspek privasi dan juga jarak perjalanan dari Jeti
Gawi,” kata Azmi Mohd., dari agensi pelancongan Ping Anchorage Travel &
Tours Sdn. Bhd.
Memetik perancangan kerajaan negeri melalui kenyataan Menteri
Besar, Datuk Ahmad Said tahun lalu, Tasik Kenyir dijangka muncul dengan tarikan
baru iaitu aktiviti jelajah pulau.
Sebanyak 10 buah pulau kecil yang terdapat di bahagian utara
Tasik Kenyir akan dibangunkan mengikut tema tertentu.
Projek yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah
(Ketengah) itu akan menyaksikan pembinaan Taman Eko-Kenyir seluas 61 hektar di
Pulau Selimbar, Pulau Tekak Kecil dan Pulau Kuala Tekak.
Khabarnya taman orkid, taman tropika, taman rama-rama dan
taman burung akan dibangunkan di beberapa lokasi berhampiran.
Biar apa pun tujuannya, jangan pula terjadi apa-apa yang
boleh mengorbankan keindahan yang sudah sedia ada di Tasik Kenyir. Datanglah ke
sini dan alamilah sendiri!
No comments:
Post a Comment