Zamirul Syafiq (kiri) bersama adik
beradiknya dan penduduk kampung memegang ikan,pelik sepanjang kira-kira dua meter untuk tatapan orang ramai.
KUANTAN -
“Belum pun hilang rasa pelik selepas terbaca mengenai penemuan ikan ganjil oleh
nelayan di Kerteh, Terengganu melalui sebuah akhbar kelmarin, hari ini saya
sendiri pula yang menjumpai ikan spesies sama terdampar di Pantai Kampung
Sungai Ular di sini,” kata seorang nelayan, Zainuddin Busu, 36.
Ikan pelik yang dipanggil ‘ikan naga’ itu ditemui kira-kira jam 8 pagi ketika
dia bersama dua anaknya turun ke pantai untuk memukat ikan.
Zainuddin berkata, anaknya, Zamirul Syafiq, 16 terpandang objek pelik terapung
di gigi air ketika mereka menaiki motosikal melalui pesisiran pantai tersebut.
“Pada mulanya kami sangka objek itu ular mati lalu mendekati bangkai tersebut.
“Saya dan anak terkejut apabila mendapati objek berwarna putih itu sebenarnya
seekor ikan yang amat ganjil berukuran kira-kira dua meter dan berat dianggar
hampir lapan kilogram,” katanya.
Dia berkata, ikan itu ditemui sudah mati tetapi keadaan badan masih baik, tidak
busuk atau cedera .
Spesies ganjil
Dia yang membesar dalam suasana perkampungan nelayan di situ mengakui tidak
pernah melihat ikan spesies tersebut sebaliknya mengetahui kewujudan ikan
tersebut di perairan Pantai Timur melalui akhbar kelmarin.
“Semua nelayan di sini termasuk warga emas yang berpuluh tahun bergelumang
dengan ombak mengakui tidak pernah melihat ikan ini,” katanya.
Zainuddin berkata, ikan itu amat ganjil dengan rupa yang agak menakutkan.
“Ikan berwarna putih ini memiliki mata bulat dan besar, mulut besar dengan
bibir lembut, mempunyai kulit keras serta tajam seperti pari dan berkepala
seperti naga.
“Manakala siripnya berwarna merah dan di kepala serta bawah mulutnya mempunyai
sesungut panjang berwarna merah selain bintik tajam di bawah badan,” katanya.
Dia berkata, pada hari sebelumnya dia ada ternampak kelibat seakan ikan besar
melibas- libas ekor di satu kawasan berhampiran tempat ikan itu ditemui.
“Pada mulanya saya beranggapan kelibat itu adalah ikan biasa yang besar sedang
mengejar anak-anak ikan.
“Saya tidak nampak bentuk ikan itu dengan jelas namun percaya kelibat itu
adalah ikan ini,” katanya.
Zainuddin berkata, mungkin ikan itu dari spesies ikan laut dalam yang tersesat
ke perairan cetek dan tidak dapat menyesuaikan keadaan di perairan ini
menyebabkan haiwan itu mati.
Boleh buat kajian
Dia berkata, dia menolak andaian sesetengah pihak bahawa kemunculan ikan itu
mungkin satu petanda akan berlaku sesuatu kejadian di situ.
“Mungkin semua ini hanya satu kebetulan,” katanya.
Katanya lagi, saya belum bercadang untuk menjual ikan ini sebaliknya menunggu
pihak Jabatan Perikanan datang melihat ikan ini hari ini (semalam).
“Kalau mereka hendak ambil untuk kajian, saya akan serahkan tapi jika tidak,
saya sudi menjual kepada mana-mana pihak berminat.
Sementara itu, sumber Jabatan Perikanan Pahang berkata, ikan yang ditemui itu
bukan luar biasa sebaliknya sejenis ikan yang selalunya menghuni dasar laut
yang berkedalaman 500 hingga 1,000 meter.
Ikan Naga atau Oarfish (Regalecus Russelii) ini jarang ditemui di kawasan
pesisir pantai bagaimanapun ada kalanya ia akan menghanyutkan diri ke kawasan
pantai bila hendak mati.
“Ini kali pertama penemuan ikan ini dilaporkan terdampar di pantai ini dan kita
tidak pasti punca sebenar haiwan ini mati," katanya.
|
No comments:
Post a Comment